Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang baharu, Antonio Guterres memberi amaran bahawa beliau bukan seorang yang mampu "mencipta mukjizat" sambil menambah bahawa badan antarabangsa itu sedang menghadapi "saat-saat yang sukar".
Guterres membuat kenyataan itu pada hari Selasa, sebelum memulakan hari pertama bekerja di ibu pejabat badan itu selepas menggantikan Ban Ki-moon sebagai setiausaha agung pada 1 Januari.
"Saya fikir amat berguna jika saya katakan bahawa tidak ada mukjizat (di sini)... Saya cukup yakin yang saya tidak mampu untuk menciptakan mukjizat," kata beliau.
Beliau seterusnya menekankan bahawa badan itu kini perlu menghadapi pelbagai krisis rumit yang wujud di seluruh dunia.
"Kita lihat pelbagai konflik di seluruh dunia. Konflik yang bercambah dan saling terkait kemudian mencetuskan fenomena baharu iaitu keganasan global," tambah beliau.
Guterres menekankan bahawa pertubuhannya hanya mampu untuk meringankan beban sebahagian manusia. Akan tetapi pertubuhan itu masih "gagal untuk mengelakkan tercetusnya konflik dan menyelesaikan konflik yang sedia ada."
Beliau meneruskan dengan berkata bahawa badan itu kini menghadapi pelbagai tentangan dan sebahagian pihak juga sangat meragui kemampuan PBB di dalam memainkan peranannya.
4 Januari 2017 - 06:09
News ID: 802605
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang baharu, Antonio Guterres memberi amaran bahawa beliau bukan seorang yang mampu "mencipta mukjizat" sambil menambah bahawa badan antarabangsa itu sedang menghadapi "saat-saat yang sukar".